Saturday, September 13, 2008

Kek Lapis Mocha


Salam semua,

Hari ini kita sudah berada di hari yang ke 14 ramadhan. Beberapa hari yang lepas saya postkan satu lagi kek lapis baru iaitu kek lapis India. Pasti ramai yang sudah mencubanya untuk menikmati kelainannya. Dan yang pasti peminat kek lapis mempunyai cita rasa yang berbeza. keberbezaan cita rasa ini membangkitkan serta meransang kepelbagaian jenis kek lapis di pasaran. Perkara ini turut ditanya kepada saya. "Aina, tahun ni ada kek lapis baru dak? saya merasakan soalan ini agar sukar untuk saya. Bukan tidak ingin mempelbagaikan produk cuma ia agak sukar untuk saya yang masih lagi di peringkat amatur dalam bidang ini. Suami saya pernah menyatakan pendapat beliau, bahawa kita tidak semestinya mempunyai produk yang banyak tetapi pastikan produk yang ada itu adalah produk "killer". Mungkin pada pendapat beliau, kalau nak kek lapis batik sutera atau sisik ikan, kat mana nak cari. Senang saja, Aina bakery lah. Ada juga betulnya pendapat beliau.

emm.. panjang pulak celoteh kali ini, sebenar saya nak share dengan kalian di luar sana tentang satu lagi kek lapis yang saya baru cuba dua hari lepas. Resipi ini saya cedok dari majalah masakan, kalau tidak silap ini resipi kak Pau (Citra Klasik), terima kasih.....saya modified sikit. Aromanya sungguh membangkitkan selera anda. Cuma pada saya, kek lapis saya kali ini kurang lembab. Mungkin lepas ini saya akan buat experiment lagi agar lebih lembab.

Harap anda semua yang mencintai seni kek lapis sarawak tidak harus putus asa untuk mencuba kerana setiap percubaan akan memperbaiki kelemahan. Catatlah setiap penemuan kerana ia amat membantu di kemudian hari.

Selamat mencuba.....

Friday, September 5, 2008

Kek Untuk Hantaran




Kek Lapis India

Salam semua.....



Hari ini merupakan hari ke 6 kita berada di bulan Ramadhan. Semoga Ramadhan tahun ini puasa kita dipenuhi dengan keberkatan dan lebih baik dari tahun2 sebelumnya. Tahun ini juga saya harap Kak Long Syasya (anak sulung saya) dapat puasa penuh. Bagi ibu2 yang dapat puasa penuh tahun ini, tahun depan dapat baby baru.......



Setelah lama menyepi...malam khamis lepas Aina mencuba kek lapis India. Dan inilah hasilnya yang tidak seberapa tapi rasanya sedap....... (kata anak saya). kenapa? sebab ada coklat di dalamnya. Anak2 pasti menyukai kek ini. Resepi ini saya ambil dari Resepi Diana (TQ Dee). Coklat tak berapa nampak sebab tidak mencukupi, askar2 saya dah belasah awal2. Tapi sebab nak cuba juga, inilah jadinya.

Wednesday, April 30, 2008

Krisis Harga Barangan...

Salam semua…

Akhir-akhir ini tekanan harga barangan begitu memeningkan kepala seluruh warga. Apatah lagi sebagai usahawan, yang pastinya tidak dapat mengelakan diri dari menghadapi kenaikkan kos produk dan dalam masa yang sama perlu mengambil kira persepsi pelanggan yang inginkan barangan yang berkualiti tetapi dengan harga yang reasonable.

Aina Bakery tidak terkecuali dari menghadapi krisis ini, tidak dapat tidak kami terpaksa menaikkan juga harga produk kami. Kami mengambil pendekatan menaikkan sesetengah produk dan kekalkan harga sebahagiannya. Kami masih lagi mengekalkan jenis dan kuantiti bahan mentah yang digunakan untuk penghasilan produk kami. Ini bagi mengekalkan kualiti produk kami. Semoga strategi ini mampu untuk membolehkan Aina Bakery untuk terus bertahan menghadapi krisis ini.

Teringat pesan seorang sahabat tentang surah Al-Inshirah ayat 5-6 yang bermaksud, ”Oleh itu, maka tetapkanlah kepercayaanmu bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan (5). Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.(6)”

Semoga ianya menjadi satu sumber inspirasi yang berharga buat kita semua untuk menguatkan lagi semangat kita bagi menghadapi setiap cabaran dalam kehidupan ini. Dan semoga kita semua akan tergolong dalam hamba-hambaNya yang sentiasa bersyukur.

Saturday, February 9, 2008

Penglibatan Saya

Salam semua,

Ingin saya berkongsi dengan semua teman-teman tentang penglibatan awal saya dalam bisnes kek Lapis Sarawak. Walaupun saya berasal daripada Sarawak. Tetapi ianya bukanlah bermakna saya juga pandai membuat kek lapis Sarawak. Secara jujurnya saya belajar daripada melalui buku-buku dan seterusnya mencuba sendiri. Hasil daripada percubaan demi percubaan, akhirnya saya berjaya menghasilkan kek lapis batik sutera yang memenuhi piawaian Kek Lapis Sarawak daripada segi rasa, tekstur dan warna. Dari semua percubaan-percubaan itu saya catatkan tip-tip saya yang tersendiri agar saya tidak melakukan kesilapan yang sama. Hasilnya saya mempunyai resepi dan tip-tip saya yang tersendiri. Selepas itu saya mula menghadiri kelas-kelas membuat kek lapis Sarawak yang lebih advance.

Alhamdulillah. Pada tahun pertama saya terlibat dalam perniagaan kek lapis, saya telah berjaya membeli heavy duty mixer (RM1800), oven roti (RM2400) dan juga 3 oven kek lapis (RM700). Maka bertambahlah pula cabang perniagaan saya iaitu membuat roti. Sehingga hari ini saya juga pernah dijemput beberapa kali untuk mengendalikan bengkel-bengkel membuat kek lapis Sarawak di sekitar Bangi. Ianya juga merupakan pengalaman yang amat berharga buat saya.

Secara ringkasnya, apabila kita dapat menguasai basic skills untuk membuat kek lapis maka untuk menghasilkan variasi kek lapis yang lainnya bukan lagi satu perkara yang terlalu sukar. Yang penting kita mesti terus berani mencuba. Bak kata orang yang hebat, "Sekali Anda gagal tidak bermakna Anda akan gagal buat selamanya."

Wednesday, February 6, 2008

Cabaran Membuat Kek Lapis




Membuat kek lapis adalah satu kerja yang agak leceh bagi kebanyakkan orang. Tetapi percaya atau tidak, kebanyakkan orang membuat andaian begitu adalah orang yang tidak pernah membuat kek lapis. Mereka tidak pernah mencubanya. Mereka hanya menilai segala kerumitan dan kelecehan daripada cerita-cerita orang yang pernah membuat kek lapis dengan berdasarkan imiginasinya sendiri. Tetapi saya rasa bukan tujuan orang yang bercerita itu untuk menakutkan orang lain daripada cuba untuk membuat kek lapisnya sendiri. Cuma orang yang bercerita itu lupa untuk bercerita lagi satu dimensi dalam membuat kek lapis iaitu kepuasan yang diperolehi apabila berjaya membuat kek lapis yang enak. Betapa rasanya macam nak terbang saja apabila ada orang yang memujinya. Betapa puasnya apabila melihat anak-anak dan suami begitu menikmati kek lapis yang kita sendiri hasilkan. Itulah sebenarnya antara pushing factor untuk seseorang itu terus mencuba membuat kek lapisnya sendiri.

Menghasilkan kek lapis juga seperti memasak masakan yang lainnya. Iaitu mengikut citarasa masing-masing. Ada yang suka manis dan ada yang suka kurang manis. Berdasarkan daripada feedback yang diberikan oleh orang yang pernah merasakan kek lapis saya, maka saya mengubah resepi kek lapis yang asal supaya dapat memenuhi selera kebanyakkan orang. Dengan itu kita akan dapat meningkatkan bilangan penggemar kek lapis kita.

Kepada semua teman-teman. Jangan takut untuk terus mencuba membuat sendiri kek lapis kerana hasilnya memang berbaloi dengan masa dan tenaga yang kita curahkan. Tanpa mencuba, maka tiadalah hasilnya. Insyaallah dengan tips dan resepi yang betul, kita akan dapat mengurangkan kesilapan dalam menghasilkan kek lapis. Yang paling penting ialah terus mencuba.

Tuesday, February 5, 2008

Cake Decoration




Salam semua..

Cake decoration bukanlah 100% tergantung kepada bakat sahaja. Tetapi rajin berlatih akan membuat kek yang dihasilkan akan kelihatan cantik dan kemas. Pendek kata kalau dah biasa, sambil bersembang pun boleh siapkan satu hiasan kek. Namun saya sendiri masih banyak lagi perlu belajar tentang cake decorations. Terutama untuk yang lebih advance.

Masih ingat dulu semasa saya mula2 menyiapkan tempahan kek harijadi pelanggan saya. Dengan perasaan was-was dan takut2 saya memcuba juga kerana dah tidak punya pilihan lain. Namun Alhamdulillah semuanya dapat di atasi, walaupun taklah profesional sangat. Bak kata orang yang bijak pandai, untuk mengatasi perasaan takut terhadap sesuatu kita perlu mengulangi melakukan perkara yang kita takuti sehingga perasaan takut itu hilang.
Jangan takut untuk mencuba. Kerana kemahiran akan hanya dapat di capai dengan terus mencuba.
Wassalam

Sunday, February 3, 2008

Salam Perkenalan

Salam semua dari saya, Nur'Aina di Aina Bakery. Alhamdulillah saya berkesempatan untuk berkenalan dengan teman-teman cyber. Insyaallah, saya akan berkesempatan untuk berkongsi cerita tentang ilmu sama ada dalam pembuatan kek lapis mahupun produk-produk bakery yang lainnya di ruang blog ini pada masa-masa akan datang.

Semoga dengan perkenalan di dunia cyber ini akan memberikan kita semua ilmu yang bermanfaat untuk dipraktikan dalam kehidupan sehari-harian. Sama ada bagi mencari idea-idea yang bernas untuk menceburi diri dalam perniagaan bahkan juga mempertingkatkan kualiti diri dan keluarga.

Sesungguhnya berpesan-pesan ke arah kebaikan adalah merupakan satu sunnah. Begitu juga berpesan-pesan untuk menghindari dari melakukan kejahatan. Selamat berkenalan.

Tulus ikhlas dari saya
Nur'Aina Nabila
Aina bakery @ Bangi